Saturday 16 April 2011

SEMANGAT PERPADUAN....SEMANGAT 1MALAYSIA

 Video sempena Minggu Bahasa....
Puteri-puteri SMKCS menunjukkan bakat manyanyikan lagu bertemakan "BAHASA LAMBANG KEPERIBADIAN BANGSA"
Semangat dan kerjasama yang ditunjukkan puteri-puteri SMKCS melambangkan perpaduan yang ada di SMKCS walaupun berbilang bangsa, agama dan budaya...

Saturday 9 April 2011

PLKN - PROGRAM LATIHAN KHIDMAT NEGARA




OBJEKTIF
Program Khidmat Negara akan dilaksanakan bagi mencapai objektif yang telah digariskan seperti berikut:
  1. Meningkatkan semangat patriotisme di kalangan generasi muda.
  2. Memupuk perpaduan kaum serta integrasi nasional.
  3. Membentuk perwatakan positif menerusi nilai-nilai murni.
  4. Menyemarakkan semangat kesukarelaan.
  5. Melahirkan generasi muda yang lebih cergas,cerdas dan penuh keyakinan diri.
Perlaksanaan
Dalam melaksanakan Program Khidmat Negara ini, beberapa aspek penting telah diambil kira iaitu seperti:
  1. Jangka masa latihan selama 3 bulan secara berkhemah dan berasrama.
  2. Pelaksanaan telah dimulakan pada tahun 2004.
  3. Kemudahan infrastruktur latihan dan kemudahan-kemudahan asrama seperti yang terdapat di kem-kem PLKN seluruh negara.
  4. Implikasi kewangan.
  5. Menghadkan kesan ke atas sistem pembelajaran yang sedang berjalan.
  6. Guna tenaga dari segi kepakaran dan pengalaman.
Modul Latihan

1.  Modul Fizikal
Modul Fizikal adalah sebuah modul yang dilaksanakan untuk membina kemahiran dan ketahanan mental, emosi, spiritual dan fizikal bagi menjadikan peserta Program Latihan Khidmat Negara sebagai warganegara yang berkesan. Secara khususnya, latihan-latihan yang dilalui dapat mengeratkan perpaduan di kalangan peserta, mempertingkatkan ketabahan mental bagi tujuan hidup (survival), daya kepimpinan, disiplin dalaman, keyakinan diri, kemahiran bekerja sebagai ahli satu pasukan, kemahiran menyelesai masalah, membuat keputusan secara individu dan dalam kumpulan. Di samping itu, peserta akan dilatih oleh para jurulatih untuk mempelajari melalui pengalaman dalam aktiviti-aktiviti seperti kawad, kraf hutan, pertolongan cemas, membaca peta, kompas, latihan pandu arah, menyeberangi sungai, merempuh halangan, aktiviti menggunakan tali (litar tali tinggi dan rendah), merentas desa, seni mempertahankan diri, aktiviti air, kembara hutan dan lain-lain. Modul ini dilaksanakan selama empat minggu di dalam dan di persekitaran tapak perkhemahan.


2.  Modul Kenegaraan
Modul Kenegaraan adalah sebuah modul yang diaplikasikan untuk memperluaskan pengetahuan tentang kenegaraan (nation-building) dan meningkatkan perasaan cinta serta pengorbanan para peserta program kepada negara. Melalui latihan dalam kumpulan, jurulatih memimpin kumpulan untuk mempelajari tentang kenegaraan yang merangkumi tanah air, rakyat, kerajaan, kedaulatan dan cabaran-cabaran dalam dan luar negara. Melalui elemen Tanah Air, peserta akan dibantu membina serta memupuk rasa sayang kepada tanah air dan sanggup mempertahankannya. Peserta membincangkan tentang negara dari segi aspek geografi, keindahan bumi ini, hasilnya, sempadan dan lain-lain. Peserta dapat mengetahui asal-usul pelbagai ras, etnik, membina rasa sayang sesama etnik dan antara etnik, memahami kepentingan bersatu-padu melalui aktiviti seperti menganalisis fakta tentang etnik, mengharmonikan perbezaan, memahami persamaan dan sebagainya melalui elemen Rakyat. Elemen Kerajaan pula membantu peserta memahami bagaimana negara (tanah air, rakyat, kedaulatan) ini ditadbir dan diurus, melalui sistem pentadbiran, undang-undang, perlembagaan dan lain-lain. Peserta memahami kepentingan dan cara untuk mempertahankan kebebasan negara melalui elemen Kedaulatan. Cabaran dari dalam dan luar negara juga diperbincangkan supaya peserta menyedari peluang dan ancaman yang datang secara berterusan. Modul ini dilaksanakan selama tiga minggu dan pelbagai kaedah digunakan seperti lawatan, simulasi, lakonan, dinamik kumpulan, menonton gambar, melukis, berdebat, mentafsir peristiwa dan lain-lain.
3.  Modul Pembinaan Karakter
Modul Pembinaan Karakter adalah sebuah modul yang dilaksanakan untuk membina karakter yang berkesan bagi para peserta yang merangkumi diri, keluarga, komuniti dan negara. Terdapat dua komponen yang akan dilalui peserta di mana yang pertama berfokus kepada pembinaan diri dan kedua adalah tentang diri dengan orang lain. Di dalam komponen pertama, peserta melalui proses penerokaan diri sendiri, menyedari dan mengenal pasti ciri-ciri diri (seperti aspek kepimpinan), memperkayakan kekuatan dan memulihkan kelemahan diri. Peserta menyedari tentang penglibatan orang lain dalam kehidupan mereka, mengetahui kemahiran untuk bekerja sebagai ahli satu pasukan, cara bertindak sebagai pemimpin dalam kumpulan, dan mengatasi masalah di dalam kumpulan semasa melalui komponen kedua modul ini. Melalui aktiviti-aktiviti ceramah, permainan, latihan dan lain-lain, peserta belajar tentang kejujuran, membuat pilihan, bertanggungjawab, memimpin, menunaikan janji (komitmen) dan membina keyakinan diri. Modul ini dilaksanakan selama dua minggu dan peserta dipimpin oleh jurulatih.


4.  Modul Khidmat Komuniti
Kehidupan ini tidak akan memberikan sebarang makna sekiranya kita tidak mempunyai kekuatan untuk mencuba sesuatu.” Kesukarelaan dan jatidiri yang kukuh dan padu perlu dijanakan dalam diri setiap individu untuk menyuburkan kekuatan serta keyakinan diri. Dengan itu, sebagai langkah merealisasikan aspirasi tersebut, Program Latihan Khidmat Negara telah dilaksanakan dengan memperkenalkan beberapa modul tertentu kepada para pelatih yang berumur 18 tahun. Salah satu modul yang terdapat dalam pelaksanaan Program latihan Khidmat Negara ialah Modul Khidmat Komuniti . Modul khidmat komuniti mempunyai lima komponen utama iaitu kemudahan awam, kejiranan, khidmat sosial, alam sekitar dan penempatan di Jabatan. Ini bermakna, sepanjang program berjalan, para pelatih akan melalui kelima-lima komponen tersebut dalam tempoh yang telah ditetapkan .

1MALAYSIA

1Malaysia atau 'Satu Malaysia' adalah satu gagasan peribadi yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia keenam, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2 April 2009. Intipati gagasan ini idea satu bangsa tanpa mengira kepelbagaian etnik, sub-etnik dan kebudayaan.

Slogan 1Malaysia pada 2009 adalah "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".
Slogan pada 2010 pula ialah "1Malaysia Menjana Transformasi"









Al-Wathiqu Billah, Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah dilahirkan pada 22 Januari 1962 adalah Sultan Terengganu yang ke-16 dan merupakan Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-13.

Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah dilahirkan pada 7 Disember 1973.





YAB Dato' Sri Haji Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak lahir pada 23 Julai 1953 adalah Perdana Menteri Malaysia ke-6 sejak 3 April 2009.

Datin Paduka Seri Rosmah Mansor ialah isteri Perdana Menteri Malaysia ke-6 Dato' Seri Mohd Najib bin Abdul Razak. Beliau dilahirkan di Kuala PilahNegeri Sembilan pada tahun 1951.

Thursday 7 April 2011

Kenali pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan


Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan merupakan mata pelajaran yang memainkan peranan penting dalam kurikulum kebangsaan sekolah menengah bagi melahirkan murid yang patriotik dan bertanggungjawab sebagai warganegara Malaysia. Kandungan mata pelajaran ini memberi tumpuan kepada hubungan murid dengan masyarakat, peranan, hak dan tanggungjawab murid sebagai warganegara dan pemupukan nilai yang perlu untuk membentuk individu yang dapat menyumbang kepada masyarakat dan negara. Justeru, unsur-unsur patriotisme dan perpaduan menjadi intipati dalam perancangan kurikulum Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan peringkat menengah. Mata pelajaran ini membolehkan murid memperoleh pengetahuan, kemahiran dan nilai sivik dan kewarganegaraan melalui pengajaran dan pembelajaran yang berinteraktif dan berpusatkan murid.
Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan menekankan empat prinsip pendidikan yang penting iaitu belajar untuk mengetahui (learning to know) belajar untuk bertindak (learning to do), belajar untuk hidup bersama (learning to live together) dan belajar untuk membentuk peribadi (learning to be). Belajar untuk mengetahui dapat mengembangkan kebolehan murid menguasai ilmu dan membantu mempengaruhi perasaan dan tingkah laku sivik. Belajar untuk bertindak merujuk kepada aplikasi pengetahuan dan kemahiran dalam kehidupan harian murid yang dikembangkan menerusi aktiviti di dalam dan di luar bilik darjah. Prinsip ini membolehkan murid menguasai kemahiran untuk kerjaya masa depan dan kemahiran menghadapi serta menangani cabaran Belajar untuk membentuk peribadi penting bagi perkembangan menyeluruh setiap individu yang merangkumi aspek rohani, fizikal, intelek, emosi dan sosial. Prinsip belajar untuk hidup bersama merupakan asas dalam mengekalkan keamanan dan keharmonian dan amat bersesuaian dengan latar masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Melalui prinsip ini, unsur perpaduan dalam keluarga komuniti dan masyarakat pelbagai kaum dapat dipupuk.
Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan ialah mata pelajaran teras untuk semua murid sekolah menengah. Selaras dengan ini, pihak sekolah bertanggungjawab membina sahsiah dan potensi murid dengan pengetahuan kemahiran dan nilai yang perlu bagi murid untuk melaksanakan hak dan tanggungjawab sivik dan kewarganegaraan. Murid perlu dipupuk dengan pemikiran kritis dan kreatif serta kesedaran sivik dan kewarganegaraan untuk melahirkan warganegara yang patriotik dan dapat memainkan peranan yang konstruktif dalam pembangunan negara.